fbpx

Day: July 4, 2023

Persaingan pasaran baik untuk pengguna

Persaingan pasaran merupakan persaingan antara firma perniagaan atau syarikat yang beroperasi dalam industri yang sama atau menawarkan produk atau perkhidmatan yang serupa.

Hal ini melibatkan usaha pihak syarikat untuk menarik minat pelanggan bagi mencapai kelebihan daya saing dan keuntungan syarikat berbanding syarikat pesaing dalam persaingan yang adil.

Dalam pasaran bebas, persaingan yang adil merupakan syarat utama bagi memastikan perniagaan atau individu mempunyai peluang untuk bersaing secara saksama. Ia bermaksud setiap pihak akan bersaing atas syarat atau undang-undang yang sama tanpa kelebihan atau halangan yang tidak adil seperti undang-undang yang memihak kepada satu pihak.

Baru-baru ini, kedudukan Malaysia dalam World Competitiveness Ranking (WCR) 2023 telah meningkat lima anak tangga kepada 27 berbanding 32 pada tahun sebelumnya. Dalam laporan tersebut Malaysia berjaya menambah baik prestasi dari segi harga, infrastruktur asas dan dasar cukai tetapi kurang baik dari segi perundangan perniagaan, pendidikan dan rangka kerja kemasyarakatan.

Mengulas perkara ini, Tengku Zafrul selaku Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyatakan komitmen untuk meningkatkan daya saing global Malaysia kerana prestasi ini mampu memberi pengaruh pelaburan, perdagangan dan pembangunan perindustrian negara.

Selain itu, Perbadanan Produktivi Malaysia (MPC) dalam proses menjalankan kajian mengenai beban kawal selia yang tidak perlu ke atas perniagaan dengan mengurangkan isu dan cabaran yang berkaitan dengan birokrasi kerajaan.

Ini satu usaha yang baik kerana persekitaran yang mesra perniagaan dengan peraturan yang dipermudahkan dan proses yang cekap boleh menarik pelaburan, merangsang pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Namun, perkara yang paling utama adalah pengguna mendapat manfaat paling besar daripada pasaran yang lebih kompetitif, yang sering membawa kepada produk yang lebih baik, harga yang lebih rendah dan pilihan yang lebih tinggi.

Persaingan memberi manfaat kepada pengguna dengan memberikan mereka pilihan, memacu inovasi dan membawa kepada kualiti dan nilai yang lebih baik. Mahu tidak mahu, perniagaan terpaksa menawarkan harga yang lebih kompetitif untuk menarik pengguna kerana banyak pilihan dan penawaran di pasaran.

Perkara ini memberi manfaat kepada pengguna dan isi rumah dengan membenarkan mereka membeli barangan dan perkhidmatan pada harga yang lebih berpatutan. Secara tidak langsung meningkatkan kuasa beli mereka.

Sebagai contoh, apabila AirAsia diperkenalkan ia telah berjaya memberi pengguna untuk mendapatkan tiket penerbangan dengan harga yang lebih rendah. Walaupun ada mungkin ada servis yang tidak termasuk seperti makan dan minum tetapi pengguna boleh membuat pilihan dan menaiki kapal terbang untuk sampai ke destinasi dengan harga yang lebih rendah.

Selain itu, persaingan akan memaksa perniagaan berusaha untuk menawarkan produk berkualiti tinggi atau mempunyai ciri-ciri yang unik kepada pengguna. Bagi mencipta produk-produk seperti ini syarikat akan melabur dalam penyelidikan dan pembangunan untuk memacu inovasi dan kemajuan teknologi produk.

Sudah tentu pengguna akan mendapat manfaat daripada pilihan-pilihan produk yang telah dipertingkatkan dan peningkatan nilai untuk wang mereka. Sebagai contoh, sebelum ini kereta menggunakan minyak atau petrol. Dengan penciptaan kereta elektrik penggunaan tenaga jauh lebih cekap dan kos elektrik kenderaan elektrik lebih murah berbanding mengisi petrol atau diesel untuk perjalanan pengguna.

Persaingan juga menggalakkan kedaulatan pengguna dan memperkasakan individu untuk membuat keputusan termaklum. Apabila pengguna membuat pilihan termaklum, mereka dapat mengutamakan keperluan, memahami akibat daripada tindakan dan mencapai kepuasan yang lebih besar dengan pembelian.

Ruangan ulasan di platform perdagangan elektronik seperti Amazon, Ali Baba, Shoppe, Lazada dan banyak lagi telah memperkasa pengguna dalam menilai dan membuat keputusan. Pengguna boleh membaca dan menilai sendiri kualiti sesuatu produk sebelum membuat pembelian. Bukan itu sahaja, pengguna juga mempunyai peluang menyuarakan pengalaman menggunakan produk tersebut, sama ada baik atau sebaliknya.

Secara tidak langsung, peniaga akan lebih bertanggungjawab dalam menyediakan perkhidmatan atau produk yang lebih berkualiti untuk pengguna.

Secara keseluruhan, persaingan pasaran yang adil adalah penting bagi mewujudkan suasana yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi, inovasi dan kebajikan pengguna. Ia juga mampu meningkatkan kecekapan, menyediakan harga yang kompetitif, memperkasa pengguna dan meningkatkan kualiti produk.

Dalam hal ini, pihak kerajaan mesti kekal neutral dan sentiasa berusaha ke arah menambahbaik persekitaran pasaran yang kompetitif agar faedah ini dapat dikecapi oleh pengguna.

Originally published here

Scroll to top
en_USEN