Agensi Tenaga Antarabangsa meramalkan menjelang akhir 2023 sebanyak 14 juta kenderaan elektrik akan dijual di pasaran global.
Sementara itu pada suku pertama tahun ini saja, terdapat peningkatan hampir 25 peratus (2.3 juta) kenderaan elektrik yang dijual berbanding tempoh sama tahun lalu.
Salah satu sebab utama permintaan untuk kenderaan elektrik berkembang pesat ialah kerana potensinya untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menjadi lebih mesra alam.
Selain itu, potensi kos operasi yang lebih rendah berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman juga mendorong peningkatan permintaan, terutamanya kos elektrik yang lebih rendah berbanding petrol atau diesel dan kurangnya kos penyelenggaraan bahagian dalaman kereta.
Malaysia tidak terkecuali daripada gelombang global peralihan kenderaan elektrik. Gelombang ini memaksa Malaysia untuk lebih bersedia dalam menyediakan dasar dan infrastruktur yang mampu menarik minat industri untuk melabur dan membuka peluang pekerjaan serta meluaskan lagi pilihan kepada pengguna.
Oleh sebab itu, kerajaan mewujudkan Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC) yang melibatkan pelbagai kementerian dengan tujuan menggubal dasar dan menyelesaikan isu berbangkit dalam pelaksanaan ekosistem kenderaan elektrik di Malaysia.
Terbaru kerajaan menyasarkan untuk mencapai 15 peratus kenderaan elektrik di jalan raya pada 2030 dan 38 peratus menjelang 2040.
Angka itu bukanlah sasaran yang sukar untuk dicapai, tetapi dasar dan peraturan kerajaan akan memainkan peranan penting dalam menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia bagi jangka masa panjang.
Dalam Belanjawan 2023, kerajaan mengambil pendirian bagi melanjutkan pengecualian duti import dan duti eksais sepenuhnya ke atas kenderaan elektrik import penuh (CBU) sehingga 31 Dis 2025.
Bagi kenderaan elektrik pemasangan tempatan, pengecualian penuh duti import ke atas komponen dan duti eksais serta cukai jualan telah dilanjutkan sehingga 31 Dis 2027.
Namun, dalam kes ini, sepatutnya tiada teknologi khusus yang perlu ditetapkan oleh kerajaan tetapi harus dipilih oleh pengguna. Teknologi neutral mesti digunakan untuk memastikan tiada teknologi atau pihak yang mendapat sebarang kelebihan berbanding pihak lain.
Ini penting untuk menjamin pengguna membuat pilihan secara bebas tanpa dikawal atau dipaksa oleh dasar berat sebelah.
Sementara itu, bagi pengeluar peralatan mengecas kenderaan elektrik mereka akan menikmati insentif 100 peratus pengecualian cukai dari tahun taksiran 2023 hingga 2032, dan 100 peratus elaun cukai pelaburan untuk tempoh lima tahun.
Satu lagi dasar yang baik, cukai jalan untuk kenderaan elektrik adalah percuma sehingga 2025. Kementerian Pengangkutan sedang membangunkan struktur cukai jalan yang kurang daripada kenderaan pembakaran dalaman.
Pengguna juga boleh menikmati pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas perbelanjaan berkaitan pengecasan peralatan.
Walaupun dasar kerajaan sekarang agak terbuka, masih terdapat banyak cabaran kepada pengguna untuk memiliki kenderaan elektrik. Ia melibatkan pemilikan yang masih mahal yang membolehkan hanya kumpulan tertentu sahaja memilikinya.
Walaupun teknologi bateri bertambah baik, ia masih mempunyai jarak pemanduan yang terhad berbanding kenderaan pembakaran dalaman.
Begitu juga infrastruktur pengecasan yang terhad dan masa pengecasan yang lebih lama berbanding kenderaan tradisional membuatkan pengguna masih teragak-agak untuk beralih kepada kenderaan elektrik.
Kos bateri yang tinggi, hayat bateri dan kesan alam sekitar daripada pengeluaran dan pelupusan bateri yang melibatkan pelepasan karbon dioksida menjadikan pemilikan besar-besaran mencabar.
Sebagai contoh, dasar Tesla adalah untuk memastikan setiap bateri yang mencapai penghujung hayatnya boleh dikitar semula dan digunakan semula berulang kali.
Perlu ada garis panduan untuk pengurusan bateri litium-ion yang hanya boleh dikendalikan oleh profesional berkelayakan yang memenuhi piawaian infrastruktur tertentu.
Malaysia sedang dalam fasa peralihan ke arah penggunaan kenderaan elektrik yang akan mengambil jangka masa panjang. Peranan kerajaan adalah untuk memastikan dasar yang diperkenal dan dilaksanakan mampu terus menggalakkan industri berinovasi dan bekerjasama agar cabaran tersebut dapat diselesaikan.
Kerajaan juga perlu sedar, dasar melindungi industri automotif tempatan dengan alasan patriotik hanya akan membebankan pengguna apabila terpaksa membayar dua kali ganda semata-mata untuk mendapatkan kenderaan yang lebih berkualiti.
Keterbukaan teknologi adalah prasyarat penjimatan kos untuk sektor pengangkutan yang mampan.
Originally published here