“SAYA seorang perokok lebih daripada 20 tahun. Saya cuba pelbagai cara untuk berhenti merokok tetapi tidak berjaya sehingga saya cuba menghisap vape. Dalam tempoh tiga minggu, ini saya berjaya berhenti merokok,” kata Fairuz yang merupakan pengguna vape atau rokok elektronik.

Daripada pengalamannya itu, Fairuz yakin bahawa dengan menghisap vape boleh membantu perokok mengatasi sindrom ketagihan nikotin dalam tubuh mereka.

Katanya, sebotol cecair perisa (flavour) iaitu bahan utama yang digunakan dalam dalam rokok elektronik itu boleh bertahan selama tiga minggu dengan harga RM24, berbanding rokok berjenama terkenal berharga RM17 yang hanya mampu bertahan selama dua hari.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Belanjawan 2021 mengumumkan duti eksais akan dikenakan terhadap semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan eletronik termasuk vape sebanyak 10 peratus mulai 1 Januari 2021.

Cecair perisa juga akan dikenakan duti eksais sebanyak 40 sen per milimeter. Bagi banyak pihak, pengumuman itu adalah satu langkah positif bagi industri tembakau tempatan kerana pengenalan cukai itu bermakna produk vape akan dikawal selia. Di Malaysia, jumlah perokok sedia ada telah merosot sedikit iaitu sebanyak 1.5 peratus kepada 21.3 peratus pada tahun 2019, menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tidak jelas sama ada pengurangan bilangan perokok tembakau disebabkan oleh pertukaran kepada vape, memandangkan laporan sama menunjukkan sebanyak lima peratus rakyat Malaysia menggunakan produk vape termasuk Fairuz.

Bagaimanapun, kajian mendapati ada hubung kait positif antara pengurangan bilangan perokok tembakau dan penggunaan vape sejak ia diperkenalkan.

Dalam laporan bertajuk Vaping and the Gateway Myth oleh Consumer Choice Center, satu kajian telah dilaksanakan untuk menentukan sama ada penggunaan vape membantu perokok bertukar daripada produk tembakau.

Laporan tersebut mendapati penggunaan vape terbukti 95 peratus kurang berbahaya daripada merokok, malah produk vape diiktiraf oleh pelbagai badan kesihatan antarabangsa sebagai alternatif yang lebih selamat.

Laporan yang sama menambah bahawa produk vape telah direka untuk menawarkan cara yang lebih selamat kepada perokok untuk menggunakan nikotin, dengan perokok dewasa sebagai pasaran sasaran.

Menurut Perkhidmatan Kesihatan British, nikotin secara tersendiri tidak berbahaya. Menurutnya lagi, “Hampir semua kemudaratan merokok berpunca daripada beribu-ribu bahan kimia lain dalam asap tembakau, yang kebanyakannya toksik.”

Laporan tersebut juga menyebut satu kajian kendalian University College London pada tahun 2019 yang menganalisis data lebih daripada 50,000 perokok dari tahun 2006 hingga 2017.

Positif

Kajian mendapati bahawa penggunaan produk vape untuk berhenti merokok dikaitkan secara positif dengan kadar kejayaan berhenti merokok, dengan peningkatan 1 peratus penggunaan produk vape menghasilkan peningkatan 0.06 peratus dalam kejayaan berhenti merokok.

Penggunaan vape juga diiktiraf oleh Joachim Schüz, Ketua Alam Sekitar dan Radiasi di agensi penyelidikan kanser WHO, International Agency for Research on Cancer dalam ucapannya di Committee on the Environment, Public Health and Food Safety, Parlimen Eropah pada Februari 2020.

Dalam laporannya, Joachim Schüz berkata, vape ‘sama sekali tidak’ sebahaya rokok tembakau dan boleh membantu perokok tegar berhenti merokok.

Keberkesanan vape sebagai alat berhenti merokok tidak boleh dinafikan kerana yang disasarkan adalah perokok dan bukan golongan yang tidak merokok.

Sebarang dakwaan yang menggambarkan penggunaan vape sebagai pembuka laluan kepada merokok adalah tidak berasas.

Cuma yang menjadi kebimbangan pengguna vape seperti Fairuz ialah kos yang semakin meningkat mulai tahun hadapan.

Originally published here.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to top